Pernah tak nampak signboard macam ni, "Ketenangan ada dijual disini, dapatkan segera!" Atau iklan macam ni, "Ketenangan untuk dijual" ataupun bila buat carian di mudah.com, jumpa "Untuk dijual: Ketenangan". Pernah tak kita jumpa? Erm... saya yakin, belum pernah ada ketenangan terjual di mana-mana.
Penting ke ketenangan ni?
pernah sekali atau kerapkali mungkin, (mungkin barangkali ) dalam hidup ini kita diuji dengan dugaan yang kita rasakan sangat berat, hingga kita jatuh terduduk, tergamam, terpana. Terasa jiwa yang tenang mula berombak, fikiran yang lapang terasa sesak. Dunia yang semalamnya cerah, hari ini terasa gelap gelita, tiada cahaya, tiada apa-apa. Kita teraba-raba, mencari tangan-tangan untuk berpaut, mencari bahu-bahu untuk bersandar, mencari dinginnya embun nasihat buat menyejukkan hati, saljunya madah kata pemujuk jiwa yang bisa mengembalikan kelamnya hidup kita. Kita tercari-cari mana pasangan, anak-anak, sahabat-sahabat kita. Adakah ketenangan ada bersama mereka?
Namun, kita rasa hampa kerana tiada tangan yang datang menghulur, tiada bahu yang datang mendekat, tiada curahan kata, tiada madah pujangga, tiada apa-apa. Sedang hati kita semakin terjerut kehibaan, mengenang dugaan yang semakin memberat, sedang jalan keluar seakan tidak kelihatan, kita seolah-olah tersesat di hutan belantara, di malam kelam yang tiada bintang, tiada juga bulan penunjuk haluan.
Sungguh, kita terasa ingin lari jauh. Jauh kemana-mana saja, asalkan kita terlepas dari belenggu yang menyesakkan fikiran ini. Kita mahu mencari sesuatu... "Ya Allah, berikan aku ketenangan". Ya, tiada apa yang lebih kita inginkan, tiada lain yang kita perlukan saat ini, melainkan ketenangan. Kita ingin Allah pinjamkan kita ketenangan, biarpun seketika, biarpun hanya sedetik cuma.
Sungguh, ketenangan ini adalah satu anugerah yang sangat istimewa. Kerana ia tidak dimiliki oleh sesiapa, melainkan Allah S.W.T. Manusia tidak dapat memberikan ketenangan, harta bertimbun bukan syarat memiliki ketenangan, paras rupa bukan juga tukaran ketenangan, keluarga dan sahabat bukan jaminan, kerana di sinilah terletaknya Keadilan dan Keagungan Allah S.W.T.
Allah meletakkan ketenangan pada hati-hati yang dekat dengan-Nya, firman-Nya:
'Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana' [Al Fath: 4]
~ berdoa dan sentiasalah mengadu padanya . . hanya dia yang memahami semua keadaan kita ~
Ayuh sama-sama kita renungi, andainya ada ketenangan dihati kita saat ini, maka bersyukur dan ingatlah selalu kepada-Nya. NAmun sekiranya ketenangan itu diambil seketika oleh-Nya, maka kembalilah bersegera membawa hati kita.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan